Nota Tahfiz 1.13 : Teknik Menghafaz Al-Quran

1 TEKNIK MENGULANG BACAAN 

 

Langkah Pertama

  • Ambil mana-mana satu surah yang ingin dihafaz. Contohnya pada juzu’ ke 30 mulai surah an-Naba’.
  • Baca ayat yang pertama dengan tartil dengan bacaan yang kuat dan tajwid yang betul.
  • Ulangi bacaan tersebut sebanyak 20 kali.
  • Tumpukan perhatian mata pada ayat yang dibaca.
  • Fokuskan pemikiran pada ayat yang didengar.
  • Cuba terus mengingat menerusi getaran suara dan pendengaran.

Langkah Kedua

  • Pastikan anda telah menghafaz ayat yang pertama.
  • Cuba tutup Al-Quran dan baca. Sekiranya anda dapat membaca dengan betul teruskan dengan bacaan ayat yang kedua.
  • Ayat yang kedua juga harus dibaca sebanyak 20 kali sehingga lancar dan tajwid yang betul.
  • Tutup Al-Quran. Cuba baca ayat kedua tanpa melihat mushaf. Sekiranya anda dapat membacanya dengan betul tanpa melakukan sebarang kesilapan, maka anda telah dapat menghafaz ayat kedua dengan lancar.

Langkah Ketiga

  • Campurkan kedua-dua ayat dalam satu pembacaan.
  • Ulangi kedua-dua ayat dalam satu pembacaan sebanyak 10 kali.
  • Cuba tutup Al-Quran dan baca kedua-duanya secara hafazan.
  • Ulangi bacaan sehingga anda benar-benar hafaz.

Langkah Keempat

  • Sambung bacaan anda pada ayat yang ketiga.
  • Ulangi bacaan anda sebanyak 10 kali sehingga lancar.
  • Tutup Al-Quran dan cuba baca secara hafazan.

Langkah Kelima

  • Gabungkan ayat pertama, kedua dan ketiga dalam satu bacaan.
  • Ulangi bacaan ayat 1, 2 dan 3 sebanyak 10 kali sehingga lancar dan hafaz.
  • Tutup Al-Quran dan cuba baca ketiga-tiga ayat sekali. Jangan melakukan kesalahan.

Demikianlah seterusnya hafazan ditambah dari satu ayat ke satu ayat sehingga anda dapat menghafaz seberapa banyak yang anda kehendaki. Kebiasaannya seseorang itu dapat menghafaz sebanyak satu muka surat dalam masa satu atau satu setengah  jam.

2 TEKNIK MENGHAFAZ DENGAN SEORANG TEMAN

 

  1. Pilih seorang teman yang sama minat dalam menghafaz Al-Quran.
  2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
  3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
  4. Saling menguji ayat yang dihafaz antara satu sama lain.

3 TEKNIK PENULISAN (KITABAH)

 

  1. Tulis kembali ayat-ayat yang telah dihafaz.
  2. Kemudian semak semula ayat yang telah ditulis berpandukan mashaf.
  3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu’, atau setiap juzu’ atau setiap surah dalam satu helaian kertas.

4 TEKNIK MENDENGAR

 

Mendengar bacaan guru dan mengikut bacaan tersebut sehingga menghafaz ayat tersebut atau merakam ayat-ayat Al-Quran yang akan dihafaz kemudian mendengarnya melalui alat audio. Contoh bacaan terbaik yang boleh diikuti ialah bacaan Syeikhul Maqari’ Mahmud Khalil al-Khusori dari Mesir.

5 TEKNIK PEMBAHAGIAN AYAT (AL-TAQSIM)

 

  1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai.
  2. Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
  3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian. Contohnya mengikut pertukaran cerita dalam surat tersebut.
  4. Memisah-misahkan juzu’ kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu’, cerita dan sebagainya.
  5. Memisah-misahkan Al-Quran kepada kelompok surah, hizib, setiap 10 juzu’ dan sebagainya.(4)

Nota Hujung ;

  1. Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad. 2001. Panduan Menghafaz Al-Quran. Penerbitan Salafi: Selangor. hlm. 62-63.
  2. Abdul Hafiz bin Haji Abdullah. 2003. Tesis bertajuk ; Keberkesanan Kaedah Hafazan Di Pusat Tahfiz. Universiti Teknologi Malaysia: Skudai, Johor. hlm. 32-33.
  3. Hanani binti Abu Bakar dan Abu Abil Hassan Ibn Musa. 2004. Kaedah Menghafal Al-Quran – Panduan Untuk Pelajar Tahfiz Al-Quran Mencapai Kecemerlangan. Klang Book Centre: Kuala Lumpur. hlm. 21-25.
  4. Ahli Jawatankuasa Penggubal Kaedah hafazan Al-Quran, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 2007. Kaedah Hafazan Al-Quran. Kuala Lumpur. hlm. 8-10.

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!