Nota Tahfiz 1.11 : Adab Menghafaz Al-Quran

Allah SWT. telah menurunkan kitab-Nya iaitu Al-Quranul Karim untuk menjadi petunjuk kepada manusia seluruhnya, mengeluarkan mereka daripada kegelapan kejahilan menuju cahaya keimanan. Allah Taala mewariskan kitab-Nya itu kepada sesiapa sahaja yang Ia kehendaki dari kalangan hamba-Nya yang terpilih. Allah SWT. juga telah menentukan dan mewajibkan agar umat-Nya menghafaz Al-Quran tersebut dan Allah Taala sendiri yang menjaganya daripada sebarang penyelewengan dan perubahan hingga ke hari kiamat.

Oleh yang demikian, bagi setiap hamilul Quranil Karim, perlu bagi mereka mengetahui adab-adab yang  semestinya dimiliki sebagai seorang penghafaz Al-Quran dan beramal dengannya. Ini adalah supaya setiap pembacaan dan hafazan Al-Quran akan memperoleh hasil dan manfaatnya di sisi Allah azza wa jalla. Sebahagian adab-adab tersebut adalah seperti berikut  ;

PERTAMA : IKHLAS

 Mengikhlaskan niat dan tujuan mempelajari, menghafaz dan seterusnya mengajarkan Al-Quran hanya semata-mata kerana Allah Taala. Firman Allah Taala ;

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ (٥)

Maksudnya:  Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus! (Al-Bayyinah : 5)

Mengikhlaskan niat semata-mata adalah tidak mencukupi. Ia mestilah disertakan dengan amalan iaitu melakukan apa yang diperintah dan menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala ;

قَالَ ٱهۡبِطَا مِنۡهَا جَمِيعَۢا‌ۖ بَعۡضُكُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوٌّ۬‌ۖ فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّڪُم مِّنِّى هُدً۬ى فَمَنِ ٱتَّبَعَ هُدَاىَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشۡقَىٰ (١٢٣)

Maksudnya:  Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu barangsiapa yang mengikut pentunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. (Taha : 123)

Al-Imam al-Hasan al-Basri pernah berkata mengenai keadaan para salafus-soleh, bagaimana mereka dapat menghayati dan seterusnya mengamalkan Al-Quran iaitu ;

إن من كان قبلكم رأوا القرآن رسائل من ربهم , فكانوا يتدبرونها بالليل , وينقذونها في النهار ..

Maksudnya:  Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu melihat Al-Quran itu sebagai kiriman daripada Tuhan mereka. Maka mereka mentadabburnya pada malam hari dan melaksanakan tuntutannya pada waktu siang hari. 

KEDUA : AKHLAK AL-QURAN

 Golongan Hamilul Quran hendaklah berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Ini bermaksud setiap hamilul Quran perlu berakhlak dengan setiap apa yang dianjurkan oleh Al-Quran dan mengetahui batas-batas sempadannya serta menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dalam masa yang sama, tidak patut bagi setiap hamilul Quran bersifat riya’ dan sum’ah.

Saidina Ali Ibn Abi Talib r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah   bersabda ;

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَاسْتَظْهَرَهُ , فَأَحَلَّ حَلَالَهُ وَحَرَّمَ حَرَامَهُ , أَدْخَلَهُ اللهُ بِهِ الْجَنَّةَ وَشَفَّعَهُ فِي عَشْرَةِ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلُّهُمْ وَجَبَتْ لَهُ النَّار .

Maksudnya:  Sesiapa yang membaca Al-Quran dan menghafaznya, dan dia menghalalkan apa yang halal serta mengharamkan apa yang haram, maka Allah Taala akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberi kuasa mensyafaat sepuluh orang daripada ahli keluarganya yang sudah tentu masuk neraka. (Riwayat at-Tirmizi)

KETIGA : TENANG JIWA

Setiap Hamilul Quran perlu berpada dengan apa yang ada dan tidak terlalu berhajat kepada keperluan-keperluan hidup yang berlebihan. Dalam erti kata yang lain, seseorang itu mestilah menenangkan jiwanya dan menghindarkan diri daripada memikirkan perkara-perkara duniawi secara keterlaluan.

Sebuah athar yang diriwayatkan oleh ad-Dailami yang mengandungi sabda Rasulullah SAW kepada Muaz RA ;

يا معاذ : إن أردت عيش السعداء , وميتة الشهداء , والنجاة يوم الحشر , والأمن يوم الخوف , والنور يوم الظلمات , والظل يوم الحرور , والري يوم العطش , والوزن يوم الخفة , والهدى يوم الضلال , فادرس القرآن فإنه ذكر الرحمن , وخرز من الشيطان , ورجحان في الميزان .

Maksudnya:  Wahai Muaz : Sekiranya kamu ingin kehidupan yang bahagia, mahukan matimu sebagai mati syuhada, mahukan kejayaanmu pada hari kebangkitan, mahukan keamanan bagi dirimu pada hari yang penuh ketakutan dan kebimbangan, mahukan cahaya bagi dirimu pada hari yang penuh kegelapan, mahukan naungan dan perlindungan pada hari yang penuh kepanasan, mahukan curahan air pada hari yang penuh kedahagaan, mahukan berat timbangan amalanmu pada hari yang penuh keringanan, mahukan petunjuk pada hari yang penuh kesesatan, maka hendaklah kamu mempelajari Al-Quran kerana sesungguhnya ia peringatan daripada ar-Rahman, menjaga daripada gangguan syaitan dan memberatkan timbangan amalan kamu.

KEEMPAT : BERDOA

Hendaklah berdoa dengan penuh harapan dan kesungguhan untuk menghafaz Al-Quran. Antara contoh doa (2) ialah ;

بِسمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِيءُ مَزِيدَهُ , يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِكَ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ . اَللَّهُمَّ نَوِّرْ بِكِتَابِكَ بَصَرِي , وَاشْرَحْ بِهِ صَدْرِي , وَفَرِّجْ بِهِ قَلْبِي , وَأَطْلِقْ بِهِ لِسَانِي , وَاسْتَعْمَلْ بِهِ بَدَنِي , وَقَوِّنِي عَلَى ذَلِكَ , لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ . اَللَّهُمَّ ارْحَمْنِي بِتَرْكِ مَعَاصِيكَ أَبَدًا مَا أَبْقَيْتَنِي , وَارْحَمْنِي مِن تَكَلُّفٍ مَا لَا يَعْنِنِي , وَارْزُقْنِي حُسْنَ الْمَنْظَرِ فِيمَا يُرْضِيكَ عَنِّي , وَأَلْزِمْ قَلْبِي حِفْظَ كِتَابِكَ كَمَا عَلَّمْتَنِي , وَارْزُقْنِي أَنْ أَتْلُوَهُ عَلَى النَّحْوِ الَّذِي يُرْضِيكَ عَنِّي . وَصَلَّى عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ , وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ .

Selain itu, terdapat sebahagian daripada adab-adab yang umum ketika hendak membaca atau menghafaz Al-Quran iaitu ;

  • Menjaga solat dengan sentiasa berjemaah di masjlid terutamanya solat Subuh.
  • Sentiasa memelihara wudu’.
  • Menghadap kiblat.
  • Sentiasa menghormati guru.
  • Sentiasa dalam keadaan suci, bersih dan menutup aurat.
  • Memastikan tempat untuk membaca dan menghafaz Al-Quran itu bersih dan tenang sebaik-baiknya di masjid.
  • Meninggalkan perkara-perkara maksiat dan menghindari perkara-perkara makruhat dan syubhat.
  • Hendaklah memilih waktu yang sesuai. Sebaik-baik waktu ialah dua pertiga malam, seterusnya waktu malam, kemudian waktu fajar, waktu Subuh dan waktu-waktu lain.
  • Hendaklah memilih tempat yang sesuai.
  • Kedudukan dan keadaan ketika membaca Al-Quran hendaklah beradab kerana apabila kita membaca Al-Quran, seolah-olah kita berhadapan dengan Allah Taala.
  • Membaca Ta’awuz dan Basmalah.

Nota Hujung ;

  1. as-Syeikh Abdul Latif Faizuriyan (Qadhi Syar’ie Beirut). 1999. At-Tabyin Fi Ahkam Tilawah al-Kitab al-Mubin, Darul Ma’rifat, Beirut Lubnan. hlm. 38-42.
  2. Ahli Jawatankuasa Penggubal Kaedah hafazan Al-Quran. 2007. Kaedah Hafazan Al-Quran. Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM): Kuala Lumpur. hlm. 3-4.
  3. Solah Abdul Fatah al-Khalidi (Dr). 2002. Mafatih Lit-Ta’amul Ma’a Al-Quran. Darul Qalam: Damsyik Syria. hlm. 51-54.

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!