Setelah ambo buat perkongsian 4 hari lepas seorang pelajar Malaysia dari negeri Kelantan, Wan Tasnim Salsabila binti Wan Mohd Syarafi, yang telah mencipta satu kejayaan yang membanggakan dalam Haflah Takrim Awail Kuliah di Universiti Al-Azhar Al-Syarif, diberi penghargaan sebagai pelajar cemerlang kategori pelajar luar negara bagi tahun ketiga dalam pengajian Syu’bah Usuluddin, Qism Hadis. Boleh baca di sini
Alhamdulillah,
Mendapat perkhabaran seorang lagi pelajar Malaysia dari negeri Kelantan juga iaitu Muhammad Haiqal Hakimi bin Malek, tersenarai kelima terbaik dalam kelompok pelajar cemerlang (Mumtaz & Jayyid Jiddan) bagi Tahun Dua, Kuliah Usuluddin, kategori Pelajar Luar Negara, Universiti Al-Azhar, Mesir.
Muhammad Haiqal Hakimi merupakan anak kelahiran Chiku 1, Gua Musang, Kelantan adalah seorang pelajar yang cemerlang sejak dari awal lagi. Sebagai pelajar lepasan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan, beliau telah berjaya menamatkan hafazan Al-Quran sebanyak 30 juzuk semasa di tingkatan dua, hanya dalam masa dua tahun. Ini adalah bukti fokus, ketekunan dan dedikasi beliau dalam menuntut ilmu sejak usia muda.
Kini, sebagai pelajar yang akan menyambung pengajian di tahun tiga sesi akan datang, Muhammad Haiqal Hakimi tekad untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam permusafiran ilmu beliau di ardhul kinanah ini.
Ambo sempat bertanya khabar beliau melalui panggilan video (video call), memandangkan sekarang beliau sedang berada di Malaysia bercuti dan urusan keluarga. Antara yang dikongsikan oleh Muhammad Haiqal Hakimi adalah kepentingan membuat persediaan awal sebelum peperiksaan dengan mengkhatamkan bacaan buku kuliah secara keseluruhan sekurang-kurangnya sekali sebelum minggu peperiksaan bermula.
Selain itu, Muhammad Haiqal Hakimi juga menitipkan keperluan usaha dan istiqamah mendalami ilmu agama dengan menghadiri kelas-kelas syeikh mengikut disiplin ilmu yang dipelajari. Beliau merancang pembelajaran dengan teliti, menetapkan target kitab yang ingin didalami dan berusaha mengkhatamkan kitab-kitab tersebut dengan penuh kesabaran.
Kejayaan Muhammad Haiqal ini tentunya tidak lepas daripada sokongan kuat ibu bapa beliau. Encik Malek bin Ibrahim, seorang pesara tentera dan puan Aminah binti Abd Wahab, seorang guru. Mereka telah memberikan dorongan yang berterusan dan menanamkan nilai-nilai murni seperti disiplin dan keikhlasan dalam menuntut ilmu, yang menjadi asas kepada kejayaan anak mereka.
Kisah kejayaan Muhammad Haiqal Hakimi ini bukan sahaja mengharumkan nama negara, tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar Malaysia khususnya negeri Kelantan. Semoga kejayaan beliau menjadi pembakar semangat kepada generasi muda untuk terus menuntut ilmu dengan gigih dan mencapai kejayaan cemerlang.
Tahniah, Muhammad Haiqal Hakimi!
Bacaan lanjut, sila klik https://www.facebook.com/share/p/tYBWywbNUJdGTaGa/?mibextid=CTbP7E