Ada empat faktor utama bagi mereka yang berminat menghafaz Al-Quran ;
1 Persediaan Peribadi
Menurut laporan kajian daripada pengkaji-pengkaji pendidikan moden mendapati bahawa sifat-sifat peribadi memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan kejayaan (sesuatu yang mempunyai kualiti) sama ada dalam menghasilkan penyelidikan ilmiah, penguasaan ilmu, hafazan dan ingatan yang mantap. Maka sifat-sifat ini ialah ;
Andainya terhimpun sifat-sifat ini pada seseorang pelajar, kita akan dapati ia memiliki sesuatu yang sangat mahal nilainya, iaitu (tumpuan) yang datang secara terperinci. Oleh kerana itu kita dapati ia tidak akan menghadapi kesukaran untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.
2 Umur
Masa yang baik untuk menghafaz Al-Quran ialah dalam lingkungan umur 5 – 23 tahun. Inilah yang dinamakan masa keemasan. Justeru dalam usia sebegini, seseorang itu dapat menghafaz dengan cepat dan kurang menghadapi masalah lupa, sebagaimana kata peribahasa ;
الحِفْظُ فِى الصِّغَرِ , كَالنَّقْشِ عَلَى الحَجَرِ
وَالحِفْظُ فِى الكِبَرِ , كَالنَّقْشِ عَلَى المَاءِ
Maksudnya: Menghafaz di waktu kecil seperti mengukir di batu dan menghafaz di waktu besar seperti mengukir di atas air.
Kemestian membaca dengan seorang qari’ mutqin memerlukan masa yang panjang dan proses melekatkan ingatan hafazan memerlukan minda otak yang sentiasa lapang dan segar. Keduanya sering dimiliki oleh anak kecil lebih daripada orang dewasa.
Keupayaan membentuk dan membetulkan lidah dalam menyebut huruf-huruf Al-Quran di kalangan anak-anak kecil dan belasan tahun adalah lebih berbanding dengan orang dewasa dan lebih umur.
Orang dewasa atau lebih umur jangan mudah putus asa tentang kemampuan menghafaz Al-Quran, kerana berapa ramai orang yang berjaya menghafaz Al-Quran sekali pun umurnya telah meningkat lima puluhan, enam puluhan. Apa yang penting ialah memiliki kemahuan dan menetapkan azam bagi memperolehi kejayaan.
3 Dorongan Dalaman
Dorongan dalaman merupakan faktor asas bagi setiap yang berminat untuk menghafaz Al-Quran. Ia hendaklah merasakan betapa nikmatnya berada di dalam naungan Al-Quran, betapa lazat dan bahagianya ketika membaca Al-Quran.
Sesungguhnya Al-Quran memiliki kemanisan, kelazatan dan keindahan yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang sentiasa mencari, mendampingi dan mencintainya.
Dengan adanya dorongan dalaman, kita lihat seseorang yang menghafaz Al-Quran itu tidak jemu-jemu melihat mukjizat Al-Quran yang agung ini. Lalu ia menatapnya dengan senyum, memegangnya dengan kasih, menyebut huruf dan melafazkan kalimah-kalimahnya dengan lembut dan tenang, membacanya dengan penuh adab, mengulang membacanya tanpa jemu, bahkan sentiasa merinduinya. Firman Allah SWT ;
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢)
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. (al-Anfal : 2)
Firman Allah SWT ;
وَإِذَا سَمِعُواْ مَآ أُنزِلَ إِلَى ٱلرَّسُولِ تَرَىٰٓ أَعۡيُنَهُمۡ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمۡعِ مِمَّا عَرَفُواْ مِنَ ٱلۡحَقِّۖ يَقُولُونَ رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱكۡتُبۡنَا مَعَ ٱلشَّـٰهِدِينَ (٨٣)
Maksudnya: Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al-Quran) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri). (Al-Ma’idah : 83)
4 Guru
Untuk menghafaz Al-Quran, Allah Taala telah tentukan agar ianya diterima dan dibaca melalui talaqqi dan musyafahah, bacaan yang diterima secara talaqqi melalui sanad hingga kepada baginda Rasulullah SAW.
Bimbingan guru hafiz amat penting, kerana banyak kalimah-kalimah Al-Quran disebut tanpa tanda-tanda bacaan. Di samping itu hukum-hukum tajwid ada yang berupa hukum sima’i. oleh yang demikian, bacaan yang baik tidak mungkin dapat dihasilkan kecuali dengan musyafahah.
Adanya guru hafiz yang sentiasa membimbing itu sangat penting. Ia amat membantu pelajar dalam mengekalkan hafazan dan bacaan yang baik, diikuti dengan program menghafaz yang berencana dan berterusan. Pelajar hafiz perlu mencari syeikh muqri’ yang berijazah atau guru hafiz yang mempunyai sanad bacaan (yang terbaik).
Pengalaman para hafiz Al-Quran menunjukkan bahawa hafazan tidak akan sempurna kecuali dengan dua cara sekaligus ;
- Satu sudut menghafaz dan membaca, iaitu hafiz (pelajar).
- Satu sudut mendengar dan mentashih iaitu syeikh hafiz (guru hafiz).