Al-Quran boleh kita fahami dari dua sudut iaitu dari sudut bahasa dan istilah.
Pengertian al-Quran menurut bahasa terbahagi kepada beberapa pendapat ulama ;
1 Pendapat pertama : Imam as-Syafie r.a. berpendapat bahawa lafaz al-Quran dieja dengan ( القُرَانُ ) iaitu ditulis tanpa huruf hamzah dan bukan jugakalimah musytaq iaitu kalimah yang diambil dari asal perkataan atau dari akar kata. Menurut riwayat Imam al-Wahidi, Imam as-Syafie pernah berkata ; al-Quran merupakan satu kata nama (ism ‘alam), dieja tanpa huruf hamzah dan bukan diambil daripada ( قَرَأَتْ ) tetapi ia merupakan kata nama yang khusus bagi kitabullah seperti at-Taurat dan al-Injil.
2 Pendapat kedua : Ialah pendapat al-Imam al-Asy’ari r.a. dan sebahagian ulama bahawa lafaz al-Quran adalah musytaq iaitu berasal daripada perkataan ( قَرَنَ ). Ia bermaksud sambungan atau himpunan sesuatu dengan sesuatu. Ia dinamakan sedemikian kerana al-Quran merupakan gabungan daripada surah-surah, ayat-ayat dan huruf-huruf yang berkait rapat antara satu dengan yang lain.
3 Pendapat ketiga : Menurut al-Farra’ dan sebahagian ulama bahawa kalimah al-Quran berasal daripada perkataan ( القَرَئِنُ )yang bermaksud kaitan, pertalian atau hubungan. Ini kerana ayat-ayat al-Quran saling berkait-rapat dan membenarkan antara satu dengan yang lain serta mempunyai persamaan dari sudut maksud dan pengertiannya. Huruf nun di dalam kalimah tersebut merupakan huruf nun yang asal, bukannya huruf tambahan.
4 Pendapat keempat : Ialah pendapat al-Lihyani dan sebahagian ulama iaitu al-Quran merupakan kata terbitan atau masdar dari lafaz ( قَرَأَ ) yang bererti membaca atau bacaan. Namun begitu maksud sebenar ialah yang dibaca bukan bacaan yang bertepatan dengan firman Allah Taala ;
إِنَّ عَلَيۡنَا جَمۡعَهُ ۥ وَقُرۡءَانَهُ ۥ (١٧) فَإِذَا قَرَأۡنَـٰهُ فَٱتَّبِعۡ قُرۡءَانَهُ ۥ (١٨)
Terjemahan: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan malaikat Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu. (al-Qiyamah : 17-18)
Pengertian al-Quran menurut istilah pula adalah seperti berikut ;
Al-Quran ialah Kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan berfungsi sebagai mukjizat (bukti kerasulan baginda), ditulis di dalam mushaf dan diriwayatkan secara mutawatir serta dikira sebagai ibadat bagi sesiapa yang membacanya.
Sebahagian ulama menambah pentaarifan di atas iaitu al-Quran tidak dapat ditandingi oleh musuhnya walaupun satu ayat yang bermula daripada surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas.
Dalam erti kata yang lain, al-Quran menurut pengertian istilah ialah Kalamullah yang diturunkan melalui al-Ruh al-Amin kepada Nabi Muhammad SAW dengan lafaz-lafaz arab dan maknanya untuk menjadi hujjah bagi Rasulullah SAW bahawa sesungguhnya baginda adalah Utusan Allah. Al-Quran merupakan suatu manhaj kehidupan yang membawa manusia kepada petunjuk-Nya dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya.
Al-Quran dihimpun dalam suatu mushaf, dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas, sampai kepada kita secara mutawatir melalui penulisan dan musyafahah dari satu generasi ke satu generasi.
Al-Quran dijamin oleh Allah Taala terjaga dari sebarang perubahan atau ditokok-tambah, sebagaimana firman-Nya ;
إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ (٩)
Terjemahan: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr : 9)
Rujukan :
- Abdul Latif Faizuriyan (Qadhi Syar’ie Beirut). (1999). Al-Tabyin Fi Ahkam al-Tilawah al-Kitab al-Mubin. Beirut Lubnan : Darul Ma’rifat.
- Abdullah Nasih ‘Ulwan (Dr). (1990). Muhadharah Fi as-Syari’ah al-Islamiah wa Fiqhiha wa Masadiriha. Kaherah : Darul Salam.
- Judah Muhammad Abul Yazid al-Mahdi (Prof. Dr.). (t.t.). Fathul Jalil Fi Ulum at-Tanzil. Mesir : Kuliah al-Quran Universiti al-Azhar Cawangan Tanta.
- Muhammad Abdul ‘Azim az-Zarqani (Dr.). (1998). Manahilul ‘Irfan Fi Ulumil Quran. Beirut Lubnan : Dar Ihya’ at-Turath al-‘Arabi.
- Muhammad Lutfi ad-Diba’ (Dr.). (1990). Lamhat Fi Ulumil Quran Wa it-Ittijahat at-Tafsir. Beirut Lubnan : Maktab al-Islami.