Hadapi Cabaran Dengan Penyelesaian Bukan Membina Tembok Halangan

Pagi ini saya sempat menelaah sebuah buku yang bertajuk “أفكار تحيا بها” karya Dr. Khalid bin Salih al-Munif, seorang penulis dan pakar pembangunan diri dari Arab Saudi.
Antara tulisan beliau yang menarik perhatian ialah ;
العاقل هو من يصنع قاربا يعبر به النهر بدلا من أن يبني حوائط حول نفسه تحميه من فيضائه.
Iaitu orang yang bijak ialah orang yang membina perahu untuk menyeberangi sungai, bukannya membina tembok di sekeliling dirinya untuk melindungi daripada limpahannya.
Melalui ungkapan ini, penulis cuba untuk menyampaikan suatu pengajaran yang amat mendalam tentang perbezaan antara bertindak balas dan mencari penyelesaian.
Dalam kehidupan, ujian dan cabaran ibarat sungai yang deras.
Kita mempunyai pilihan untuk membina tembok dan berlindung di sebaliknya, seolah-olah ujian itu tidak wujud. Namun, sungai tetap akan melimpah dan masalah tetap akan datang.
Orang yang bijak tidak lari daripada masalah. Dia mencari jalan, membina perahu solusi dan berusaha untuk menyeberang ke seberang. Mungkin perjalanan itu penuh goyangan dan menakutkan, tapi akhirnya dia akan sampai ke tempat yang lebih selamat, lebih matang dan lebih tenang. Insya-Allah.
Dalam hidup ini, sama ada semasa dalam pengajian, menempuh alam kerjaya mahupun hubungan sesama manusia, kita sering berhadapan dengan pilihan sama ada;
Berundur ke belakang, membina tembok halangan atau mara ke hadapan dengan membina jalan keluar.
Sesungguhnya, Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya tenggelam, selagi mereka berusaha membina bahtera dengan doa, ilmu dan tawakal.
إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًۭا
Maksudnya; (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Surah al-Insyirah: 6)
Refleksi diri.
Apakah aku sedang membina perahu untuk terus bergerak ke hadapan atau sekadar mendirikan tembok yang membuatku terperangkap?
Foto; Antara tempat wajib yang perlu dilawati di Kaherah ialah menyelusuri Sungai Nil dengan menaiki bot atau kapal layar pada waktu senja (sunset) atau malam sambil menikmati teh panas.