Budaya Bersendi Syara’

Ramai bertanya bila ambo berpenampilan lain sikit tahun ini. Tidak seperti biasa berkopiah atau bersongkok.
Mari ambo cerito.
Alhamdulillah, raya tahun ini berkesempatan memakai salah satu bentuk hiasan kepala yang menjadi identiti Melayu. Iaitu Getam Budu. Tambah manis GB ini dihasilkan sendiri oleh anak murid yang dikasihi, Budin Komeng. Hasilnya amat memuaskan. Recommended.
Ambo pakai GB ni adalah sebagai satu usaha kecil ambo untuk perkenalkan kepada orang kita khususnya para pelajar Malaysia di bumi Mesir. Biar kenal asal-usul. Kembalikan identiti Melayu jangan sampai lupa diri ditelan arus modenisasi, arabisasi dan globalisasi.
Orang Melayu sejak kedatangan Islam lagi sudah memakai hiasan kepala. Bila Islam datang membawa sunnah tutup kepala, mudah orang Melayu menerimanya.
Islam datang tidak hapuskan budaya, malah memurnikan budaya.
Islam datang tidak mewajibkan budaya Arab. Sunnah Nabi tak bercanggah dengan Sunnah Alam yang memiliki diversiti bangsa yang mempunyai identiti tersendiri.
Berikut dikongsikan beberapa jenis penutup kepala atau dikenali dengan istilah destar dalam Alam Melayu untuk pengetahuan kita ;
1. Semutar.
Kain lepas yang diikat di kepala. Banyak digunakan di Pantai Timur termasuk Selatan Thai. Menyerupai serban Arab tapi tanpa kopiah di tengah. Biasanya menjadi pakaian pelaut, petani dan buruh.
Bila Islam sampai, ia menjadi pakaian agamawan dan pendekar seperti Tok Janggut, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Kenali dan sebagainya mengambil sunnah serban atau lilitan kepala.
Sesetengah ikatannya sesuai dibuat solat kerana menutup atas kepala. Menepati sunnah menutup kepala semasa solat.
Destar paling multifunction. Boleh menjadi senjata, pelindung cuaca, angkut barang, tuala, kain basahan, alas makan dan macam-macam.
2. Getam.
Inilah yang ambo pakai sempena raya kali ini. Getam bermaksud tudung bekas. Terkenal sebagai pakaian diraja Kelantan, dikenali Getam Budu. Ia juga dipakai dalam perguruan Silat.
Getam adalah destar yang dijahit menyerupai kopiah. Gabungan Semutar, tengkolok dan songkok. Ibarat Semutar yang dibentuk seperti songkok. Menutup penuh atas kepala.
Paling sesuai dibuat solat kerana tidak memiliki juntai yang menyukarkan posisi sujud.
Getam Budu adalah paling popular. Digubah menyerupai jambangan bunga raya di atas dahi. Sehingga kini menjadi busana rasmi Sultan Kelantan.
3. Songkok.
Umpama pakaian korporat diraja dan bangsawan untuk urusan luar. Diadaptasi dari Fez atau Tarbus Turki.
Boleh dipakai dengan sebarang pakaian lain termasuk pakaian Barat. Sesuai untuk urusan rasmi pegawai. Ringan, tahan lasak, mudah dibawa ke mana-mana.
4. Tanjak
Boleh dikatakan inilah pakaian paling ‘Melayu’ kerana tidak dipengaruhi budaya lain. Tanjak adalah singkatan TANah yang dipiJAK. Menjadi pakaian hampir semua sultan Melayu dengan berbagai reka bentuk.
Digubah dengan jahitan kekal mengelilingi kepala dan berjuntai. Boleh dilaras mengikut saiz kepala. Menjadi pakaian istiadat di hampir semua istana Alam Melayu.
Banyak lagi variasi destar seperti Tengkolok, Justar, Kelubung dan Mahkota.
Hari Raya inilah peluang kita hidupkan kembali budaya bersendi syarak identiti bangsa kita. Biar kita bangga jadi sebahagian masyarakat dunia. Inilah cara untuk manusia lain saling mengenali antara satu sama lain. LiTa’arafuu sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Hujurat Ayat 13.
Siapa masih belum memiliki destar khususnya Getam Budu, masih sempat cari. Rayakan sebulan. Kalau tak tahu nak beli mana, boleh hubungi anak murid ambo tu. Ore mudoh bbaso sene kkiro.
Begitulah.
Che Khairuleffendi Che Kamaruzaman.
p/s; Foto pakai tanjak dan semutar takdok lagi. Insya-Allah kita ejas tahun depan.
Sumber;
– Destar Alam Melayu; Asal Usul, Sejarah dan Penggunaan – Johan Iskandar.
– Pakai Patut Melayu – Mohd Said Sulaiman.
– The Malay States – Philip C.Coote.
– Harakahdaily – Alang Ibn Shukrimun.