Aliran dan Orientasi Institusi Tahfiz di Malaysia

Terdapat 4 aliran kurikulum yang sedang dilaksanakan oleh institusi tahfiz di Malaysia merangkumi Tahfiz Turath iaitu pengajian tahfiz al-Quran bersama kitab turath, Tahfiz Sains iaitu pengajian tahfiz al-Quran bersama mata pelajaran sains, Tahfiz Dini iaitu pengajian tahfiz al-Quran bersama mata pelajaran agama Islam, Tahfiz Kemahiran iaitu pengajian tahfiz al-Quran bersama modul kemahiran.

1 Tahfiz Turath

 

Perkataan turath adalah berasal daripada kata kerja “waratha” iaitu istilah Arab yang membawa maksud warisan, iaitu apa yang ditinggalkan oleh seseorang untuk para warisnya yang akan datang selepasnya (Abdullah Jalil & Mohd Aizuddin, 2013). Pendidikan turath boleh dikaitkan dengan pengajian ilmu-ilmu agama melalui kitab-kitab turath Islam yang masih dapat dikekalkan dan sampai kepada umat hari ini berserta sanad. Pembelajaran ini sering dilaksanakan dalam bentuk halaqah atau bulatan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para ulama’.

Oleh itu, tahfiz turath merujuk kepada aliran yang menyediakan kurikulum yang mewajibkan hafazan 30 juzuk al-Quran dan pengajian kitab turath. Kurikulum seumpama ini dibentuk dengan hasrat supaya para pelajar dapat mendalami ilmu warisan Islam dan boleh menyampaikannya kepada masyarakat setelah tamat pengajian. Kaedah tradisional ini kebanyakannya digunakan di institusi tahfiz swasta, sementara institusi tahfiz kerajaan lebih memilih untuk mengaplikasikan aliran moden dengan menawarkan subjek akademik berserta hafazan al-Quran.

Maahad Turath al-Islami yang terletak di Shah Alam, telah ditubuhkan sejak 2014 merupakan institusi tahfiz yang menggunakan aliran tahfiz turath dalam silibus pembelajaran selama 6 tahun pengajian. Antara subjek yang ditawarkan adalah al-Quran, Tajwid, Tafsir, Aqidah, Sirah Nabawiyyah, Fiqh Sirah, Akhlak dan hafalan kitab (Portal Rasmi Maahad Turath al-Islami, 2017)

2 Tahfiz Dini

 

Tahfiz Dini mengaplikasikan kombinasi Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT). Tujuan kombinasi keduadua kurikulum ini adalah untuk melahirkan generasi pelajar yang menghafaz al-Quran, menguasai dan mengamalkan ilmu-ilmu al-Quran di samping ilmuilmu lain.

KBD merupakan kurikulum baru yang dibina berdasarkan kurikulum agama-Arab yang dikenali sebagai Kurikulum Azhari yang dilaksanakan di sekolah-sekolah agama di Malaysia termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat. Kurikulum ini menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar dan mata pelajaran dini (agama) yang perlu dipelajari adalah Usul al-Din, al-Syariah, al-Lughah alArabiyah al-Mu`asirah, Manahij al-Ulum al-Islamiyah dan al-Adab wa alBalaghah (Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015).

Kurikulum KBT pula mengandungi 2 subjek iaitu subjek Hifz alQuran yang mengkehendaki pelajar menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 5 tahun di bawah bimbingan guru tahfiz serta subjek Maharat alQuran yang berkaitan tilawah, tajwid, qiraat dan rasm Uthmani (Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015).

Contoh institusi yang menggunakan aliran tahfiz dini adalah Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh, Perak bermula tahun 2017 bagi kemasukan Tingkatan Satu. Para pelajar perlu mempelajari mata pelajaran sedia ada dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Geografi, Sains, Sejarah, dan Matematik di samping subjek KBD iaitu Usuluddin dan Syariah serta menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk dalam masa 5 tahun (Portal Rasmi Sekolah Izzuddin Shah, 2017).

3 Tahfiz Kemahiran

 

Meskipun tahfiz kemahiran dilihat sebagai aliran terbaru dalam institusi tahfiz di Malaysia, namun menurut Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata), kira-kira 300 buah institusi tahfiz di seluruh negara telah memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Antara bidang kemahiran yang dipelajari adalah pengeluaran produk minuman, katering, pastri, jahitan dan membaiki motosikal. Tujuan aliran tahfiz kemahiran ini diperkenalkan agar para pelajar menjadi huffaz yang mempunyai tambahan dalam nilai kemahiran yang mencerahkan peluang pekerjaan di masa hadapan (T.P., 2017b).

Malah kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berhasrat untuk mewujudkan kursus kemahiran yang dikendalikan GIATMARA di semua institusi tahfiz. Inisiatif ini akan dimulakan pada tahun 2018 dengan menawarkan sebanyak 236 kursus yang melibatkan kursus jangka panjang dan pendek seperti kursus teknologi motosikal, pendingin hawa, pendawaian dan pelbagai lagi (T.P., 2017c).

Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari (MTVAB) di Puchong, Selangor adalah institusi tahfiz pertama yang menjalankan program kemahiran pada pelajar-pelajarnya. Hafazan al-Quran, ilmu fardu ain, matematik dan bahasa Inggeris adalah kurikulum utama, manakala untuk aspek kemahiran, setiap pelajar wajib memilih 2 daripada kemahiran yang ditawarkan iaitu kulinari, jahitan, tulisan khat, animasi dan automotif (Nur Farhana, 2015).

4 Tahfiz Sains

 

Program ulul albab merupakan hasil cetusan idea Dato’ Seri Idris Jusoh pada 31 Mei 1996 yang berhasrat untuk melahirkan pelajar huffaz yang cemerlang dan menguasai bidang sains, matematik, teknologi maklumat, kemahiran bersosialisasi serta bahasa asing. Idea tersebut membawa kepada tertubuhnya institusi tahfiz beraliran ulul albab. Untuk aliran ini, para pelajar perlu menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mempelajari subjek sains tulen. Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu merupakan institusi pertama yang mengaplikasikan program ini, diikuti MRSM Ulul Albab dan beberapa buah sekolah berasrama penuh (Arniyuzie Mohd Arshad, 2015).

Program ulul albab menampilkan 3 ciri khusus. Pertama, pendekatan Quranik yang bertujuan melahirkan pelajar yang menghafaz 30 juzuk alQuran serta menjadikan al-Quran sebagai satu budaya hidup seharian. Kedua, pendekatan Ensiklopedik yang merujuk kepada kaedah bagi menyediakan asas kepada pelajar untuk menguasai pelbagai ilmu dan bahasa sehingga boleh menjadi pakar rujuk. Ketiga, pendekatan Ijtihadik iaitu berkeupayaan memberikan pandangan dalam penyelesaian permasalahan ummah, memaksimumkan keupayaan berfikir, berfikiran kreatif dan inovatif serta berteknologi tinggi (Salmiah Othman & Siti Eshah, 2016).

#DarulQuran#InstitusiTahfiz